
Terasa lama pula kuarantin hari ini. Mungkin sebab badan Dina makin lesu. Dina tidur tidak jerap. Dina memang ada tabiat akan terjaga kalau demam. Mungkin sebab Dina terbiasa dengan keadaan di hospital. Jururawat akan masuk setiap 4 jam untuk periksa suhu Dina dan kejut untuk dia masukkan ubat. Maka, badan Dina masih ada memori tersebut dan jadi tabiat buat Dina sehingga dewasa setiap kali demam.
Hari ini Dina sarapan bubur dan roti bakar. Adik Dina buatkan. Dia pun baru sahaja selesai pembedahan tulang belakang, tapi gigih masakkan untuk Dina. Terharu saya. Agak lewat Dina sarapan hari ini sebenarnya. Badan betul tidak berapa kuat. Kepala pun terasa berat. Dina juga tidak mampu habiskan bubur seperti kebiasaan. Cukup sekadar lapik perut untuk makan ubat.
Dina perasan Dina banyak termenung dan otak Dina semakin lembab untuk proses sesuatu benda. Sekarang pun Dina sedang mempunyai kesukaran untuk susun ayat dengan baik. Tapi berita baik, batuk Dina semakin pulih! Bacaan oksigen Dina pun dari 97 meningkat kembali 99 pada hari ini. Alhamdulillah. Mungkin bantuan daripada ubat asthma Dina. Buat siapa yang tidak tahu, Dina ada kronik asthma peringkat 4. Dina memang perlu ambil ubat tersebut setiap hari.
Selain itu, bibir Dina semakin teruk. Mula menunjukkan tanda-tanda dermatitis bibir Dina akan muncul semula. Dina tidak pasti Dina boleh ambil ubat yang sering Dina ambil untuk dermatitis atau tidak. Dina risau Covid-19 bertindak balas pada ubat tersebut. Mungkin Dina akan kerap lembabkan bibir sahaja. Dermatitis memang akan muncul bila sistem imun sedang aktif. Muka Dina pun sudah serupa zombi.
Bukan itu sahaja, acid reflux Dina pun mula terasa kembali tapi masih terkawal. Covid-19 kali ini betul-betul kumpul geng untuk serang Dina secara perlahan. Tapi Dina tidak akan putus asa untuk lawan Covid-19. Insyaallah.
Dina bila sakit memang akan teringin makan itu ini. Tyqa tanya nak makan apa, dia sanggup belikan. Pengorbanan seorang kakak lain ibu. Gigih betul. Dia belanja CU Mart dan terharu dia belikan Tiramisu. Rasa nak menangis tanpa air mata. Pensyarah Dina pun ada Whatsapp Dina tanya khabar. Beliau menawarkan diri untuk belikan Oximeter, tapi Dina menolak dengan cara baik. Dina memang sudah ada oximeter selepas kkm sarankan untuk ada satu di setiap isi rumah. Kalau awak belum ada, awak patut beli satu. Beli dari farmasi. Dina tidak sarankan beli di Shopee.
Status MySejahtera Dina pun sudah berubah dari CAT-1 kepada Kes Yang Disahkan - Amaran selepas Dina buat penilaian kendiri Covid-19. Notifikasi mengeluarkan notis untuk Dina pergi ke CAC berdekatan dan membuat pemeriksaan lebih lanjut. Tapi Dina membuat keputusan untuk tidak pergi kerana tidak mahu meletakkan risiko kepada orang tua Dina dengan menghantar Dina ke CAC. Dina akan terus pantau Diri Dina dari masa ke semasa. Sekiranya berlaku kecemasan, Dina akan terus menghubungi ambulan.
Terima kasih x
Post a Comment