Ini hari kedua selepas disahkan positif Covid-19. Bangun di awal pagi adalah perkara yang Dina kurang suka kerana tidak selesa. Bayangkan lah, Dina baru bangun pun sudah terasa lesu seolah-olah Dina baru selesai berlari 10 km. Tapi Dina kena kuatkan diri juga untuk bangun dan makan. Perkara yang Dina belajar daripada kuarantin yang lalu ialah makan itu penting walaupun tiada rasa lapar. Badan perlukan tenaga untuk bekerja.
Hari ini, Dina makan bubur lagi dan papa belikan Baklava. Sebab Dina jarang ada selera makan di waktu pagi. Selepas makan, Dina memang akan makan ubat untuk kebahkan demam. Bukan senang ya nak turunkan suhu badan. Dari Dina kecil lagi, memang ada masalah demam panas dan susah kebah. Dulu-dulu, setiap kali demam memang akan pergi hospital sebab suhu 40
°
C. Doktor yang jaga Dina selalu akan pastikan suhu Dina tidak semakin meningkat, kerana potensi nak kena sawan agak tinggi. Nampaknya sekarang, Dina lah kena pastikan suhu Dina tidak melonjak tinggi.Benda baru yang jadi ialah bibir Dina mula kering yang sehingga pecah dan luka. Mungkin, Dina kurang minum air dan badan dehidrasi. Dina akan cuba banyakkan minum air, walaupun tekak kurang selesa. Selera makan Dina kembali pada waktu makan tengahari. Teman lelaki Dina belanja Subway, walaupun dia sedang sibuk bekerja. Comel.
Oh, sebelum terlupa. Kaki Dina juga mula naik banyak lebam seolah-olah baru selesai bertumbuk. Bukan disebabkan oleh jin. Jangan risau. Dina ada buat carian tentang lebam dan Covid-19. Because I'm very curious when it comes to health. Hasil dari carian Dina yang belum dirujuk doktor, lebam adalah simptom baru yang masih dalam kajian. Buat masa ini, belum banyak info sahih mengenainya. Ada beberapa laman sesawang perubatan mengatakan, kemungkinan besar lebam itu menandakan Covid-19 sedang berada di dalam darah dan di minta berjaga-jaga kerana dikhuatiri risiko darah beku.
Ada juga Dina baca beberapa komen di Facebook yang mempunyai lebam seperti Dina. Kebanyakan kata lebam tersebut akan tiba-tiba hilang dalam tempoh 2 minggu dan ada juga yang tidak hilang hampir setahun. Lebam Dina di kaki, tapi ada juga orang yang kena di siku, lengan dan badan. Kita boleh simpulkan ianya tidak terhad pada satu anggota badan. Cuma, punca sebenar masih tidak boleh disahkan. Nanti Dina tanya doktor Dina dan Dina akan buat entri khas mengenainya.
Dina cuba untuk tenangkan diri Dina dengan memain permainan video di TV. Ya, bilik Dina ada TV. Nasib baik. Kalau tidak, Dina akan bosan dan mati kutu tidak tahu hendak buat apa. Dina menghabiskan masa dengan menonton Netflix juga. Untuk makan malam, Dina makan bubur tapi ubat sering buat Dina lapar tengah malam. Maka, Dina paksa adik Dina buatkan Maggi Tomyam.
Sebelum dapat maggi tomyam, adik Dina sempat pura-pura tidur dan mengomel di Whatsapp. Lawak dan menjengkelkan. Nasib dia buatkan juga dan sedap. Dina kalau boleh buat sendiri, Dina memang sudah turun buat sendiri.
Dina tidak pasti siapa yang membaca tapi Dina harap awak suka entri Dina sepanjang 7 hari kuarantin. Doakan Dina sihat!
Terima kasih x
Post a Comment