Assalamualaikum dan hai semua,
Baca tajuk pun sudah cukup menggerunkan. Hampir satu keluarga Dina dijangkiti virus Covid-19 pada Januari lalu. Pada mulanya, papa hanya demam biasa dan tiada simptom lain. Hari ketiga, mama pula mula demam dan tiada selera makan. Hari keempat, papa mula hilang deria bau dan rasa. Mama dan papa terus bergegas buat ujian saringan Covid-19. Disahkan positif pada hari seterusnya.
13 Januari 2021, kami adik-beradik melakukan saringan Covid-19 sebaik sahaja papa disahkan positif walaupun kami tidak mempunyai sebarang simptom. Kami cuba cari mana-mana doktor yang boleh datang ke rumah untuk buat ujian saringan Covid-19 dalam kadar segera tapi gagal kerana tempahan penuh. Nasib baik sepupu Dina ada kenal doktor yang boleh selitkan kami dalam tempahan pada hari yang sama. Kami buat PCR kerana kami kontak rapat. Iffah, Iman dan Idlan disahkan positif pada hari berikutnya.
Oleh kerana Dina dan Irfan sahaja yang negatif, maka kami pisahkan ikut bilik. Keluarga Dina yang positif akan duduk dalam bilik tidur utama kerana lebih besar. Dina dan Irfan kekal di dalam bilik sendiri. Semua urusan dalam rumah memang Dina yang uruskan. Dina pakai pelitup muka dan sarung tangan sebagai langkah berjaga-jaga sepanjang dalam rumah. Allah SWT sahaja yang tahu betapa penatnya Dina ketika itu. Berapa puluh kali sehari Dina buang pelitup muka, sarung tangan dan mandi. Nasib baik sepupu, pakngah, teman lelaki dan sahabat Dina sangat baik, tidak pernah putus membantu dalam menghantar makanan, belikan barang dan tanya khabar. Terima kasih.
Keluarga Dina ambil ibuprofen sebagai ubat demam dan minum air lemon panas setiap hari. Iman dan Idlan tidak mempunyai sebarang simptom. Tapi yang lain, hilang deria bau dan rasa, demam, sakit tekak dan hidung tersumbat. Setiap kali hidung tersumbat, Dina akan sediakan air panas untuk biarkan wap panas bantu mereka bernafas. Alhamdulillah, mereka tidak ada simptom yang teruk seperti sesak nafas.
Makin hari, kesihatan Dina makin merudum. Buat siapa yang tidak tahu, Dina memang ada penyakit kronik. Dina kalau banyak sangat buat kerja, asma mesti akan serang Dina dan hampir setiap malam Dina kena. Badan terasa berat sangat. Hampir setiap malam Dina mengadu pada teman lelaki dan rakan Dina di Jepun. Dina memang anggap Dina hanya kena serangan asma.
Pada 21 Januari 2021, Dina berniat untuk masak makan malam walaupun tengah penat. Dina memang ada tabiat waktu tumis, Dina akan sediakan bahan lain ikut susunan. Bila tumis kita mesti akan tunggu bau bawang naik baru masuk bahan lain. Sambil tunggu memang Dina sibuk susun. Dina beralih tengok kuali, bawang Dina sudah hangit. Kepulan asap pun mula memenuhi ruangan dapur. Dina ingat Dina ralit, tapi bila difikir balik Dina jadi pelik kenapa Dina tidak bau bawang tumis. Dina cuba makan sesuatu yang manis untuk pastikan Dina ada deria rasa atau tidak. Dina cuba pula letak sabun pada tangan Dina dan hidu. Hasilnya, Dina masih ada deria rasa tapi bukan deria bau. Dina terus beritahu sepupu Dina dan dia tolong tempahkan seorang doktor untuk ujian saringan Covid-19 buat kali kedua. Dina disahkan positif Covid-19 pada 24 Januari 2021.
Keluarga Dina dibawa ke Maeps, Serdang. Kecuali Iman dan papa kerana degupan jantung yang tidak normal, maka mereka dipindahkan ke Hospital Sg. Buloh. Dina berakhir dengan kuarantin dirumah sahaja, kerana doktor cakap Dina sebenarnya sudah lama positif tapi lambat buat ujian saringan Covid-19. Setiap malam, Dina rasa sesak nafas dan badan terasa berat sebelum ini sebenarnya bukan disebabkan asma. Tempoh kuarantin Dina hampir tamat, maka Dina tidak perlu ke Maeps mahupun Hospital Sg. Buloh. Dina hanya ambil ibuprofen dan minum air lemon panas. Untuk cirit-birit, Dina minum nescafe atau teh kosong. Ubat asma Dina memang sangat membantu setiap kali Dina rasa sesak nafas.
Doktor ada cakap juga, badan kami akan kekal positif selama tiga bulan dan sepanjang tempoh tersebut kami kebal daripada dijangkiti dengan Covid-19 lagi. Selepas tempoh 10 hari kuarantin, Covid-19 pada tubuh kami tidak lagi boleh menjangkiti sesiapa. Dina mengambil masa sebulan juga untuk sihat sepenuhnya.
Ada beberapa barang yang kak Sya beri pada kami sekeluarga dan ianya sangat-sangat membantu! Dina akan kongsikan kepada awak semua juga. Oh sebelum Dina terlupa, terima kasih juga buat pensyarah Dina kerana banyak membantu dan memahami situasi Dina.
Barang pertama yang kak Sya belikan ialah lemon. Hampir 3 bulan kami jenuh hendak menghabiskan lemon tersebut tapi sangat membantu. Seterusnya, kak Sya ada bagi penyembur Dettol, sanitizer dan Maxkleen Anti-Bacterial Multi-Surface Wipes.
![]() |
B E L I |
![]() |
B E L I |
![]() |
B E L I |
Maaf kerana mengambil masa yang sangat lama untuk Dina menulis mengenai ini. Dina agak sibuk sejak pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ini dilaksanakan.
Terima kasih x
Allahu Akbar! Sesungguhnya Covid-19 itu memang wujud!
ReplyDeleteMoga baik-baik semuanya.