Social Media

Moxie (Movie)


Assalamualaikum dan hai semua,
Dina baru sahaja habiskan cerita Moxie di Netflix. Tertarik kerana ianya sebuah filem mengenai seorang remaja yang jadikan ibunya sebagai inspirasi untuk menubuhkan sebuah kelab feminis di sekolahnya. Sejujurnya, Dina memang penggemar filem feminisme kerana tertarik dengan apa yang ditonjolkan seperti semangat dan juga hak-hak yang diperjuangkan. Maaf, sekiranya ada yang terasa. Tetapi apa yang Dina perhatikan, kebanyakan orang seringkali keliru feminis dan misandry. Tidak dinafikan juga ada segelintir wanita memilih kedua-dua atau salah satu gerakan tersebut. Terlalu banyak untuk Dina terangkan dan isu ini agak sensitif buat segelintir masyarakat. Fakta menarik, feminisme bukannya terhad hanya kepada wanita sahaja. Ada juga lelaki yang memilih untuk menjadi feminis. 

Berbalik kepada tajuk asal kita, Moxie. Apa yang Dina suka tentang cerita ini ialah hak-hak yang mereka perjuangkan. Sebagai contoh, satu babak di mana sebuah senarai yang melabelkan setiap wanita dengan panggilan kurang sopan disebarkan. Hanya kerana mereka ini wanita, mereka dipandang sebagai objek seks. Ini bukan perkara yang asing lagi di kalangan masyarakat kini. Maaf, tapi kita perlu menerima hakikat masalah sebegini masih berlanjutan hingga ke hari ini. Terutama, remaja yang belajar di sekolah menengah. Kebanyakan orang suka anggap perkara ini remeh dan memberi alasan seperti,"biasalah budak remaja." Maaf sekiranya ada yang tersinggung, cuba kita bayangkan anak gadis kita ataupun wanita di dalam keluarga kita dipanggil pelacur dan sebagainya. Apa perasaan kita? Adakah kita akan pejam mata dan tidak melakukan apa-apa?

Dina sedih kerana benda ini tidak sepatutnya berlaku. Belum lagi kita sentuh mengenai ramai wanita yang menerima gambar dan mesej yang tidak senonoh daripada lelaki yang tidak dikenali. Dina sendiri pernah mengalaminya. Dina juga sedar bahawa, perkara ini bukan hanya berlaku di kalangan wanita sahaja. Ada juga ya, lelaki yang kena. Malah, lelaki lagi teruk kerana di anggap lemah sekiranya mereka terasa dengan perkara sebegini. Bagi pendapat Dina, tiada seorang pun yang sepatutnya lalui perkara ini. 


Babak ini sangat menyayat hati Dina kerana Dina tahu memang berlaku di luar sana. Perkara ini mampu memberikan impak yang besar kepada individu tersebut. Sekiranya awak mempunyai trauma mengenai perkara ini dan memerlukan seseorang untuk luahan. DM Instagram Dina sentiasa terbuka untuk awak. 

Bukan itu sahaja, cerita ini juga memberikan mesej yang jelas mengenai feminisme. Walaupun mereka cuba pertahankan hak wanita, tidak bermakna mereka membenci jantina lain. Seperti yang Dina katakan tadi, tidak semua feminis adalah misandry. Ada beberapa babak di mana, Seth sentiasa memberi sokongan kepada Vivian dan mereka berakhir dengan bersama di hujung cerita. Apa yang lagi menarik, filem ini juga ada menunjukkan penindasan yang berlaku bukannya datang daripada lelaki akan tetapi wanita sendiri. Di sini, kita nampak dengan jelas. Feminisme tidak menentang lelaki. Mereka hanya bangkit untuk mempertahankan hak sama rata pada wanita.  

Kalau kita perhatikan juga, di dalam filem ini ada beberapa babak di mana beberapa lelaki yang turut serta memberi sokongan. 






Mesej yang cuba disampaikan oleh cerita ini bagi Dina cukup baik. Tapi ada beberapa babak yang Dina rasa tidak diperlukan dan terlalu kebudak-budakkan. Mungkin filem ini memang fokus kepada remaja. Walaupun begitu, cerita ini berbaloi untuk ditonton. Kita lebih faham isu yang berlaku dikalangan remaja dan perkara ini tidak terhad pada sesebuah negara sahaja. Paling penting, kita lebih faham apa itu feminisme yang sebenar.

🍿  

4.0 / 5


Terima kasih x

Post a Comment

Theme by STS