Beberapa hari yang lepas, Dina sekeluarga keluar bercuti di Pulau Pinang. Walaupun Kedah berhampiran dengan Pulau Pinang, tapi kami sekeluarga memang tidak pernah teringin untuk pergi. Tahun ini begitu banyak perintah kawalan sehingga membuatkan kami sekeluarga merindui percutian.
Dina pula memang sudah lama teringin nak berenang. Maka, Dina ajak mama untuk ke Lexis sekali lagi kerana Lexis mempunyai kolam peribadi. Dina agak takut untuk mandi di kolam yang perlu dikongsi dengan orang lain pada ketika ini. Kami membuat keputusan untuk ke Lexis Suite, Pulau Pinang kerana sudah bosan dengan Lexis di Port Dickson. Alang-alang di Pulau Pinang, boleh lajak ke Kedah terus.
Tiba sahaja di hotel, keluarga Dina terus tukar baju untuk mandi kolam. Bila mandi kolam, kita secara tidak langsung akan menjadi lapar. Kami mulakan operasi mencari mee udang yang berhampiran. Kami juga sempat singgah di Pantai Ombak Damai untuk bergambar.
Sepupu Dina yang tinggal di Pulau Pinang bawa ke Restoran Ayu Mee Udang. Bagi pendapat Dina, rasa mee udang di restoran ini sedap dan udang semua besar-besar. Memang puas makan. Kalau ada yang datang Pulau Pinang, boleh cuba!
Keesokan harinya, kami pergi ke Muzium Perang yang dikatakan seram di Pulau Pinang. Kononnya, pengunjung terasa meremang bulu roma sepanjang di muzium tersebut. Dina memang peminat untuk mencuba benda-benda sebegini. Tapi kena ikut pada keadaan juga. Harga tiket Muzium Perang Pulau Pinang sebenarnya agak mahal bagi Dina. RM 22 untuk dewasa. Mungkin kerana muzium ini bukan dibawah kerajaan.
Pertama sekali, Dina tidak suka cara muzium tersebut menulis tentang sejarah setiap bangunan dan barang disitu. Guna kertas dan di laminate sahaja? Gambar pun bukannya jelas. Pudar. Dina penggemar sejarah. Sekolah Menengah pun, Dina mengikuti kelab Sejarah dan Geografi kerana minat dan sayang pada sejarah itu sangat mendalam. Dina suka pergi muzium kerana Dina dapat melihat barang atau bangunan bersejarah dan membaca setiap papan fakta yang ada. Muzium adalah tempat untuk kita melihat dan belajar tentang sejarah dengan secara tidak langsung.
Dina kecewa dengan Muzium Perang Pulau Pinang kerana dengan harga yang mahal, Dina hanya mampu melihat dan tidak dapat sebarang ilmu. Dina memang tidak berkira untuk bayar mahal tapi Dina mengharapkan pulangan untuk diri Dina. Tapi RM 22 untuk hanya melihat? Baik Dina tengok youtube sahaja. Percuma.
Adakah muzium tersebut benar-benar menakutkan? Tidak. Jangan terpedaya. Adakah muzium tersebut berbaloi untuk pergi? Tidak! Dina tidak tahu apa fungsi patung besar yang diletakkan di dalam muzium tersebut. Seolah-olah masuk rumah hantu dan bukannya muzium. Mahukan kelainan, biar berpada-pada. Tempat itu juga berbukit ya. Sila pakai kasut sukan untuk ke sana.
Kemudian, kami ke Ice Cafe. Dina ada tulis satu entri khas untuk Ice Cafe. Boleh tekan gambar dibawah sekiranya nak baca entri tersebut.
Selepas makan aiskrim, kami jalan-jalan melihat mural sambil bergambar. Pulau Pinang terkenal dengan mural yang ada pada dinding.
Berjalan membuatkan kami lapar. Kami menuju ke destinasi seterusnya, Padang Kota. Demi mencari Pasembor dan laksa penang. Untuk pengetahuan awak, Dina tidak suka berada di tempat yang sesak. Dina pernah pengsan di tengah pasar malam kerana tidak cukup oksigen. Sejak itu, Dina tidak lagi suka berada di tempat yang penuh dengan orang. Terkejutnya Dina apabila Medan Makan di Padang Kota padat dengan orang. Bukan itu sahaja, lebah pun banyak.
Sebelum pulang ke Kedah, kami sempat berehat di pantai Golden Sands Resort by Shangri-La kerana sepupu Dina bermalam di sana. Kami memesan Starbucks Batu Ferringhi dengan menggunakan Grab Food kerana tiada kekosongan tempat letak kereta. Kalau tidak, kami sudah pasti duduk dan lepak di sana. Bukan rezeki nampaknya.
Apa yang awak suka tentang Pulau Pinang?
Terima kasih x
Agaknya keseraman tu ikut nasib memasing. kalau pergi waktu remang macam mama dulu mmg seramm sangat2 tau http://www.mamapipie.com/2019/01/hantu-pengalaman-menyeramkan-semasa.html
ReplyDelete