Assalamualaikum dan hai semua,
Dina baru sahaja habis menonton drama Never Have I Ever di Netflix. Sebelum ini, Dina tidak pernah tertarik pun hendak menonton cerita Never Have I Ever walaupun banyak kali diberi cadangan oleh Netflix. Mula berubah fikiran setelah tiada lagi drama yang ada dalam senarai Dina. Alangkah terkejutnya Dina cerita ini sebenarnya kena pada jiwa Dina. Maaf Netflix kerana tidak percayakan awak.
Cerita ini mengisahkan seorang remaja yang mempunyai Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) selepas kematian mengejut bapanya. Pelbagai konflik percintaan, persahabatan dan juga keluarga. Dalam cerita ini juga, Dina dapat melihat kelakuan seseorang yang mempunyai PTSD. Apa yang Dina perasaan, pesakit PTSD akan sentiasa teringat pada kejadian yang menakutkan mereka tanpa diduga. Ada beberapa adegan di dalam drama ini, dimana Devi teringat akan kejadian kematian bapanya dan mula menunjukkan perubahan dari segi perwatakan.
Sepanjang menonton drama ini, memang rasa sakit hati tengok Devi buat macam-macam pada rakan baik dan keluarganya. Tapi Dina cuba membawa pandangan Dina pada sudut yang lain dengan meletakkan kaki Dina di dalam kasut Devi. Dina mula faham kenapa Devi berkelakuan sedemikian. Tidak dinafikan, mempunyai peperangan dengan diri sendiri sebenarnya amat sukar.
Dina memang suka cerita yang mampu memberi kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental. Sejujurnya, Dina tidak berminat untuk menonton pada mulanya sebab Dina kurang suka cerita romantik remaja yang penuh dengan cliche. Walaupun banyak adegan romantik dalam cerita ini yang sudah boleh di agak, akan tetapi, seronok melihat dan belajar tentang kepentingan kesihatan mental. Binge-worthy.
Menonton cerita Never Have I Ever membuatkan Dina rindu untuk tengok The Perks of Being a Wallflower. Itu adalah filem pertama Dina yang mempunyai kesedaran kesihatan mental. Charlie juga mempunyai PTSD sama seperti Devi. Siapa yang mempunyai tumblr pasti tahu mengenai filem ini. Kata-kata di dalam cerita The Perks of Being a Wallflower pernah menjadi sangat terkenal kerana ramai yang mampu kaitkannya dengan diri sendiri.
🍿
4.5 / 5
Terima kasih x
Post a Comment