Social Media

Menjadi Yang Lebih Baik


Assalamualaikum dan hai semua,
Dina tidak pasti kenapa Dina dapat banyak soalan yang begini. Dina bukanlah seseorang yang pakar dalam bidang ini dan Dina tidak pasti adakah Dina berkelayakan untuk bercakap tentang ini? Akan tetapi terima kasih kerana ingin tahu pendapat Dina. Sejujurnya Dina sendiri masih dalam proses untuk berubah menjadi manusia yang lebih baik. Apa yang Dina boleh kata, perubahan ini sukar ya. Kita tidak boleh harap yang kita cuba hari ini, esok terus berubah. Adakala kita memang akan patah balik pada diri kita yang lama. Apa yang penting jangan putus asa.

Banyak lagi perkara yang Dina memang sedang cuba perbaiki dan Dina tidak nafikan kadangkala ada masa Dina kecundang. Tapi Dina bangkit semula. Tidak kira berapa puluh kali awak jatuh. Bangun balik. Dina memang suka fikir,"sekiranya aku berubah menjadi lebih baik, Allah SWT akan hadirkan orang yang baik-baik juga dalam hidup aku. Banyak benda baik akan berlaku dalam hidup ini juga." 

Dina akan kongsikan apa yang Dina buat sepanjang Dina cuba berubah. Mungkin lain orang lain cara dia. Ini apa yang sesuai untuk Dina. 

1. Rutin

Awak semua mesti macam,'Dina ni tidak habis-habis dengan rutin dia.' Bagi Dina, rutin harian adalah perkara asas untuk banyak perkara. Adakah rutin kita ini penuh dengan perkara yang bermanfaat dan mampu menjaga kesihatan mental kita? Jika ya, teruskan. Jika tidak, ubah. Kalau boleh, pastikan apa yang ada dalam rutin seharian kita ialah benda yang baik dan juga aktiviti yang awak suka lakukan. Rutin boleh di ubah dari masa ke semasa. Tidak perlu buat benda yang sama sampai tua. Ikut kesesuaian awak. Kalau Dina, Dina suka selitkan mengaji sebagai rutin harian Dina. Sebab dengan mengaji, Dina jadi lagi tenang.

Rutin juga mampu membantu awak menghindari tabiat yang buruk. Maka, fokus pada rutin itu sangat penting.

2. Sayangi Diri

Ini pun salah satu perkara yang Dina sentiasa sentuh. Sayangi diri. Percayalah Dina, sekali awak mula sayang diri awak. Awak akan dapat rasa impak yang diberi dalam diri. Awak akan jadi lebih positif. Dina dulu seorang yang suka menyusahkan diri sendiri. Kalau boleh, setiap kali bangun memang tidak mahu melihat cermin kerana meluat tengok diri sendiri. 

Tapi sekarang, Dina lebih sayang pada diri Dina. Awak boleh cuba secara perlahan dengan memuji diri sendiri dulu. Awak pergi ke cermin dan cuba mengeluarkan kata-kata yang baik pada diri awak. Pernah puji orang lain? Kini berikan pujian yang sama pada diri juga. Awal-awal memang akan terasa sedikit janggal. Tapi lama-kelamaan awak akan biasa dan lihat perubahan yang berlaku dalam diri. 

Belajar sayangi diri.

3. Bersyukur

Dina pernah tulis tentang bersyukur dalam post sebelum ini. Bersyukur sebenarnya memainkan peranan tersendiri dalam perubahan kita agar kita sentiasa berasa cukup dan berhenti mempersoalkan tentang sesuatu perkara yang bukan milik kita. Kadangkala apa yang kita mahukan bukanlah yang terbaik untuk kita.

Kita seringkali merungut benda yang kita tiada. Contoh, tiada pasangan. Dina ada beberapa kawan yang gemar merungut tiada pasangan. Rezeki ini hadir berbeza-beza ya. Masih belum ada pasangan juga adalah salah satu rezeki yang patut disyukuri. Mungkin ini peluang yang terbaik untuk awak fokus pada diri sendiri dan juga bina empayar awak sendiri? Bukan Allah SWT sudah beritahu bahawa setiap manusia dicipta berpasangan? Kenapa perlu awak risau lagi? Jodoh dan mati itukan rahsia Allah SWT. Mungkin mati yang hadir dulu sebelum jodoh? Jodoh tidak semestinya di dunia sahaja. Mungkin di syurga nanti? We don't even know. So, focus on yourself first. 

4. Maafkan dan Pujuk Diri Sendiri

Dina ada kenal seorang hamba Allah SWT ini. Setiap kali kami ada perselisihan faham, dia akan berakhir pukul diri dia sendiri. Dia seringkali rasa dia tidak guna. Awak, kalau awak berakhir dengan membaca post Dina kali ini. I just wanna tell you that you should forgive yourself. Awak akan berakhir menyakiti orang sekeliling awak dan juga ianya mampu memakan diri.   

Maafkan diri awak di zaman lampau juga. Kita belajar dari kesilapan sambil bergerak ke hadapan. Berhenti berkeliaran di masa lampau. Jangan risau, Allah SWT janji akan tutup aib kita kalau kita tutup aib diri sendiri dan juga aib orang lain. Apa lagi yang awak risau? Maafkan diri awak yang dulu dan mulakan hidup baru tanpa 'dia'. Ingatkan diri sendiri, ini dirimu yang baru dan aku tidak akan mengulang kesilapan yang sama. 

Kita ini manusia ya. Tidak akan pernah lari dari melakukan kesilapan. Belajar untuk memaafkan dan pujuk diri sendiri. Setiap kali Dina buat kesilapan, Dina akan pastikan Dina duduk dan bermonolog dengan diri sendiri. Seperti,'Irdina, kau buat silap yang sama lagi. Iaitu,..... Kita cuba sekali lagi ya. Aku maafkan kau. Kau kuat. Kita boleh lakukan ini.' Something like that. Kalau awak nak menangis sekali, menangislah. Awak akan rasa lebih baik. Please be nice to yourself.

5. Pilih Orang Sekeliling

Ya benar! Orang di sekeliling kita sebenarnya memainkan peranan yang penting. Betul, dia orang yang baik, tapi kita kena juga tengok adakah dia memberikan aura yang positif untuk kita? Kalau setiap apa yang keluar dari mulut dia semuanya negatif belaka, Dina sarankan awak jauhkan diri. Tidak perlu sehingga putuskan silaturrahim. Mungkin boleh cuba hadkan masa yang awak luangkan bersama dia. 

Sejak Dina putuskan hubungan dengan semua orang yang negatif, hidup Dina jadi lagi tenang. Dina jadi lagi positif kerana orang keliling Dina tidak pernah putus-putus memberi semangat. Perkataan yang dilontarkan pun semua indah belaka. Mempunyai orang-orang yang macam ini dalam hidup kita sebenarnya mampu memberi impak yang besar. Awak akan rasa awak mampu harungi pelbagai rintangan walaupun susah kerana mereka ini sentiasa mendokong awak dari belakang.  

Apabila Dina tidak boleh fikir ayat yang baik untuk diri Dina, mereka yang banyak membantu dalam memberi semangat. Terima kasih, semua. 

Banyak lagi sebenarnya yang boleh kita lakukan untuk berubah menjadi diri kita versi yang lebih baik. Tetapi ini apa yang Dina fokus buat masa ini. Kita cuba buat sikit demi sedikit dahulu. Perubahan tidak boleh dibuat sekaligus. Apa pun, pastikan awak tidak letakkan tekanan pada diri awak untuk berubah. Mulakan secara perlahan sehingga kita terbiasa melakukannya. 

Siapa kata manusia tidak boleh berubah? Mahu atau tidak sahaja persoalannya. 

Terima Kasih x

4 comments

  1. Sepanjang hidup ini adalah satu proses.Yang penting niat kerana Allah.Teruskan dengan sepenuh hati.

    ReplyDelete
  2. Soalan yang adakalanya diri sendiri pun susah nak jawab. huhu
    Apapun kita perlu sentiasa perbaiki untuk jadi lebih baik.

    ReplyDelete
  3. Btul. Semua manusia boleh berubah ke arah yang lebih baik. dan hanya diri kita sendiri yang boleh lakukan.

    ReplyDelete
  4. No 5 tu memang kena buat.. Pastikan circle of people disekeliling kita orang baik-baik dan positif..

    ReplyDelete

Theme by STS