Social Media

Kaki Kena Sengat (?)


Assalamualaikum dan hai semua,
Pada minggu lepas, Dina ternampak satu bulat kecil seolah-olah bisul kerana mempunyai nanah. Ketika itu lebih kurang 0.5 cm sahaja. Masih kecil. Dina hanya sapu ubat yang sedia ada kerana begitu yakin ianya bisul. Semakin hari semakin besar dan semakin merah. Sudah mula terasa pedih dan sakit. Dina beritahu mama dan katanya itu perkara biasa dalam proses untuk bisul itu 'masak'. 

Pada 19 haribulan 10, 'bisul' yang dikatakan tadi berubah menjadi hitam dan kini mempunyai tiga 'mata' nanah. Saiznya pula membesar sehingga 5-6 cm. Dina menghadapi kesukaran untuk berjalan walaupun dia tumbuh di bahagian peha. Maka, mama membuat keputusan untuk meminta papa membawa Dina ke klinik kerana 'bisul' tadi tidak lagi menyerupai bisul. 

Klinik kelihatan kosong. Nama Dina dipanggil selepas mengisi borang. Doktor tanya Dina sakit apa dan minta menceritakan secara ringkas berkenaan sakit yang Dina tanggung. Reaksi doktor mula berubah apabila melihat 'bisul' itu sendiri. Dina menjadi gementar selepas melihat riak wajah doktor. Doktor cuba menekan di sekeliling 'bisul' tadi dan didapati sebahagiannya keras. Sepanjang dia tekan, Dina cuba menahan kesakitan yang dirasai. 

Doktor memberitahu 'bisul' yang ada di kaki Dina tidak menyerupai seperti bisul. Ianya lebih kepada digigit oleh binatang yang berbisa. Kemungkinan, labah-labah atau lipan. Dia sendiri tidak pasti. Papa memberitahu mustahil binatang berbisa kerana Dina seseorang yang sering tidur lewat. Sekiranya benar digigit, pasti Dina menyadarinya. Doktor memberikan satu solusi dimana dia akan potong dan picit segala cecair yang ada dalam 'bisul' tadi kerana dia tidak menyangkal dakwaan papa berkenaan bisul. Dia kata boleh jadi bisul yang sudah 'masak'.

Dina dibawa ke bilik rawatan dan doktor memberi tahu segala prosedur yang bakal dilakukan. Doktor meminta Dina untuk sentiasa menarik nafas dan lepas kerana apa yang bakal dilakukan ini agak menyakitkan. Tidak dinafikan. Jururawat mula cucuk ubat tahan sakit di bahagian 'bisul' tadi dan doktor beritahu Dina akan terasa sakit sedikit ketika dicucuk. Selepas itu, doktor mula potong sedikit kulit Dina. Terasa pisau bedah (scalpel) tersebut sedang toreh kulit Dina, tapi tidak terasa sakit dan darah mula mengalir. Doktor memberitahu agar Dina bersedia untuk tarik nafas dan lepas kerana dia ingin picit. Ketika dia picit, kaki Dina mula menggigil sehingga tindakan spontan Dina menendang-nendang seolah-olah kaki sedang meronta kesakitan. Doktor terpaksa memanggil jururawat untuk memegang kaki Dina.


Dina berakhir dengan membuka Netflix untuk mengalihkan perhatian Dina dari fokus kepada kesakitan yang sedang dialami. Doktor mengambil pisau bedah sekali lagi dan kini dia menoreh kulit Dina lebih besar daripada tadi. Terasa pedih tapi masih boleh ditahan. Doktor memberitahu yang dia akan picit sekali lagi dan meminta Dina untuk bersedia. Kali ini lebih sakit daripada tadi. Badan Dina mula menggigil menahan kesakitan dan katil mula dibasahi dengan darah.

Selepas itu, doktor berkata masih ada bahagian yang belum sepenuhnya keluar dan masih keras. Dia hanya preskripsikan antibiotik dan ubat tahan sakit yang perlu diambil setiap 6 jam. Dina perlu pergi ke klinik setiap hari untuk doktor memantau keadaannya dari masa ke semasa. 

Kemudian, jururawat yang mengambil alih dalam proses pembalutan luka. Dina mula pujuk hati yang segala kesakitan tadi telah berakhir. Jokes on you, Dina. You're a clown. Begitu kelakar apabila jururawat kata,"saya akan masukkan kapas yang direndam iodine ke dalam luka awak tadi. Awak boleh tarik nafas dan lepas kerana ianya sedikit menyakitkan." Dina sudah mula istighfar. Iodine? Luka? Perit.


Hari pertama selepas rawatan, berjalan memang masih terasa perit. Naik tangga pun kena berhenti seketika sebab terasa sakit. Hari kedua, kesakitan semakin kurang dan ketika jururawat membuka balutan pada luka. Banyak darah dan nanah mula keluar. Doktor kata, luka itu semakin pulih dan pastikan sentiasa ambil antibiotik. Hari ketiga, hanya darah yang keluar dan masih ada bahagian yang keras. Doktor beritahu, Dina sudah boleh jumpa dia selang dua hari hanya untuk tukar balut luka. Dia masih tidak pasti bisul atau disengat. Dia sekarang hanya fokus kepada proses pemulihan sahaja. 

Setiap kali tukar pembalutan, Dina akan pastikan Dina mengambil ubat tahan sakit kerana proses memasukkan kapas iodine masih menyakitkan. Luka semakin pulih. Esok hari Dina perlu berjumpa doktor sekali lagi untuk melihat keadaan luka Dina dan esok juga Dina perlu jumpa doktor pakar paru-paru. Insyaallah semuanya akan baik-baik sahaja. 

Doakan ya!

Terima Kasih x

3 comments

Theme by STS