Social Media

Roti Canai Recipe by Papa


Assalamualaikum dan hai semua,
Saya, Encik Nasa, mengambil alih blog anak saya pada hari ini. Di saat anda semua duduk di rumah sepanjang MCO hanya kaki anda sahaja yang di sekat pergerakan tapi minda anda masih bebas untuk bergerak. Cergaskan minda anda mempelajari resepi-resepi baru dengan memasak untuk orang yang tersayang. Saya ingin mengajar anda ilmu membuat roti canai. Saya akan berikan resepi roti canai yang saya telah pelajari. Bukan mudah untuk dapat ilmu ni. Saya dulu pun bertahun kerja di kedai roti canai baru dapat ilmu ini, itu pun puas membodek mamat tukang buat roti canai tu. Nasib baik boss dia tidak tahu budak dia ni ajar saya. Apa pun dalam tahun awal 90-an dulu roti canai ini adalah yang paling famous di Kg Manjoi Ipoh. Kalau ada orang manjoi di sini cuba tanya saudara mara yang membesar di manjoi era 80-an dan 90-an tentu kenal dengan Warong Roti Canai 'Pian'. Boss saya dulu namanya Pian. Baik orangnya. Saya bekerja di kedainya selepas SPM. Di situlah bermulanya langkah saya membuka gerai roti canai untuk ayah saya.

Banyak kenangan saya berkaitan dengan roti canai ni. Antara kisah yang lucu ialah semasa saya belajar di IPTA dan ketika itu saya duduk di rumah sewa, saya menunjukkan kemahiran saya membuat roti canai. Oh ya selepas saya masuk ke IPTA urusan gerai roti canai ayah saya uruskan sepenuhnya dengan adik-adik. Saya turunkan ilmu roti canai kepada mereka. Berbalik kepada kisah saya tadi, saya memasak roti canai dengan menggunakan dapur sumbu. Sekarang sudah tiada dapur jenis itu. Dapur sumbu tu ada bekas takungan minyak api di bawahnya. Tapi dapur kami ni sudah uzur, patutnya lapik minyak tu bekas aluminium tapi sudah rosak, maka kami gantikan besen plastik sebagai bekas minyak. Saya menebar roti canai dan seorang rakan saya menggoreng. Memang happy masa tu kawan-kawan menunggu nak makan roti canai. Entah macam mana api pada sumbu tu menyambar takungan minyak dalam besen tu. Apa lagi api tu terus menyambar langsir dapur. Habis terbakar bingkai tingkap. Nyonya jiran di belakang rumah dah menjerit "Api..api..ooo". Kawan saya yang menggoreng tu tidak panik. Angkat terus dapur tu campak ke belakang rumah dengan kualinya sekali. Kawan yang lain ambil baldi jirus air kat bingkai tingkap. Asap hitam penuh satu rumah. Tapi kawan-kawan yang tidur di atas yang hardcore malas memang tenang sahaja turun bila asap sudah tebal. Nasib baik api berjaya di padamkan. Apa yang kelakarnya lepas tu masing-masing bersila makan roti canai yang sempat dimasak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Masih terdengar suara nyonya jiran belakang rumah itu mengomel "Haiya..haiya...api busat..ooo". Kami tenang sahaja makan sambil kawan-kawan memuji roti canai saya.

Kemahiran saya ini juga saya bawa bersama ketika menuntut di luar negara. Maka dapat juga pelajar Malaysia melepas rindu menikmati hidangan roti canai. Insyaallah dengan resepi saya ini anda sudah boleh buka kedai roti canai. Tapi pastikan anda belajar teknik menebar dan menggoreng dulu. Jika anda berjaya dengan resepi ini jangan lupa doakan saya sekeluarga murah rezeki.


Baiklah bahan-bahannya seperti di bawah:


  1. Tepung Gandum - 1 kg (untuk 20 keping roti canai. Kalau tebar lagi besar, lagi kurang)
  2. Telur - 3 biji 
  3. Marjerin  - 7 sudu teh
  4. Susu pekat - 1/2 Tin
  5. Garam - 4 sudu teh 
  6. Gula - 3 sudu besar
  7. Air suam - 600 ml 




LANGKAH 1



Masukkan 600 ml air suam tadi. Pastikan sukatan air tepat atau adunan kita nanti akan jadi terlebih air atau pun lembik. Adunan tidak akan jadi nanti.


LANGKAH 2



Masukkan 1/2 tin susu pekat ke dalam air suam tadi. Boleh tambah sampai 1 tin kalau nak rasa lebih berlemak manis atau berkrim. Macam saya, saya lebih suka letak 1/2 tin sahaja sebab kita akan tambah gula pula selepas ini. Tapi ikut kepada citarasa anda sendiri juga.


LANGKAH 3 



Masukkan marjerin tadi. Ini pun boleh ikut suka anda. Tapi jangan melebihi daripada 10 sudu teh ya. Nanti tidak jadi.


LANGKAH 4



Masukkan 3 biji telur. Boleh lebihkan sebiji dua kalau rasa macam tidak cukup. Macam saya nak jimat telur di rumah ketika MCO ini, maka saya gunakan 3 sahaja. Lebih banyak telur, lebih berlemak ya roti canai kita.


LANGKAH 5



Masukkan garam dan gula dan gaul semua adunan tadi sehingga sebati. Selepas gaul ni, saya suka rasa dulu supaya tahu sudah cukup rasa ke belum. Rasa semua kena seimbang, manis, masin dan lemaknya. Jika rasa masih tidak cukup, saya akan tambah garam atau gula. Boleh juga tambah susu pekat tadi.

LANGKAH 6




Bila sudah puas hati dengan sebatian campuran tadi, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga cukup 1 kg tepung tadi. Uli semua adunan tadi sehingga menjadi doh. Ini bahagian yang paling sukar kerana kita perlu pastikan doh itu tidak terlalu keras. Lebih keras doh kita, lebih keras roti canai kita. Tapi jangan lembut sangat doh itu, takut nak tebar nanti tidak boleh. Jika doh tu lembut sangat boleh tambah tepung lagi dan kalau keras sangat maka bancuh sedikit air suam bersama susu pekat dan tambahkan dalam doh yang selepas di uli tadi. Jika anda pernah buat donat maka kelembutan adunan yang di uli lebih kurang lembut seperti doh donat.


Ini contoh doh yang terlebih air ya. Untuk doh yang macam ini, saya akan tambah sedikit tepung gandum lagi. Kadang-kadang kita sukat tu terlajak ke, tidak mengapa. Kita hanya perlu sediakan tepung lebih untuk ditambah. Tidak perlu banyak. Agak-agak sahaja. 


Macam saya cakap tadi ya, jangan terlebih tepung pula. Lebih keras doh kita, lebih keras roti canai kita. Kalau rasa doh itu sudah cantik, tidak perlu tambah lagi tepung ya.



Ini adalah rupa doh yang sudah sempurna saya uli. Satu lagi petua saya untuk pastikan campuran air dan tepung dah sempurna ialah apabila tepung yang di uli tadi tidak lagi melekat di jari kita. Sekiranya masih melekat maka campuran itu masih lembik atau terlebih air. Maka tambahkan sedikit tepung sehingga ia tidak melekat pada jari dan juga pada besen tempat kita menguli tepung tadi.


LANGKAH 7



Selepas itu, baru kita bulat-bulatkan doh tadi. Jika nak roti tu saiz besar maka buat bulat besar.  Bulatkan sahaja ikut kemahiran masing-masing ya. Saya pun tidak sangka saya masih ingat teknik ini masa berniaga roti canai dulu selepas saya belajar degan mamat yang saya cerita dari awal tadi.


LANGKAH 8



Bila sudah di bulat-bulatkan doh tadi maka sapukan setiap doh tadi dengan minyak sapi supaya ianya tidak melekat antara satu sama lain. Tapi biasanya orang berniaga tidak sapu minyak sapi untuk mengurangkan kos pembuatan.



Ini adalah rupa doh yang telah saya bulat-bulatkan tadi dan di sapu dengan minyak sapi. Saya akan simpan tepung ini untuk dimasak esok hari. Biasanya saya uli tepung malam dan di masak esok pagi. Ini adalah bagi memastikan ianya elok lembut untuk saya tebar sebelum proses menggoreng



Ini hasil akhir selepas digoreng dan makan bersama kuah kari atau dal ikut kesukaan anda! Kalau anda ada cuba, boleh kongsi di blog post dan tinggalkan link di bawah. Seronok juga dapat kongsi ilmu ini. Selamat mencuba ya.

Terima Kasih x


19 comments

  1. Wah.. rupanya 1kg tepun hanya boleh dapat lebih kurang 20 keping roti canai ye..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haah. Nak habiskan 20 keping tu pun tak larat

      Delete
    2. 20 keping memang banyak kalau buat sendiri tapi mungkin boleh disejuk bekukan dan panaskan untuk makan kemudian..

      Delete
  2. Menarik, boleh ajak my mom cuba ni!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nanti dah cuba, post lah blog! Nak tengok juga

      Delete
  3. wow that looks good. it has been years since i last made my own roti canai.
    actually we (my sibs).

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aw. Since, we're still with RMO. You can make your own roti canai again.

      Delete
    2. I want to but it's no fun making it alone haha. Once I get back, I guess I'll try and make one again.

      Delete
  4. Wow, I didn't know you have roti canai business. Is it in business? where? Mana tau boleh singgah, me and my dad love good ol' roti canai. And bless you for this recipe.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Close already. No one want to continue the business :(

      Delete
  5. my mom pernah cuba.. saya tak minat nak buat2 ni sebab tau xdak bakat hehe.. pastu mak buat terkeras sikit terus trauma. hehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Faham sangat perasaan tu. Lepas ni boleh lah cuba lagi sekali since dah tahu cara nak fix? hehe

      Delete
    2. ill share will my mom insyallah. perhaps dia nak cuba lagi..
      hehehe..

      Delete
  6. dropped by here^^ btw the pictures are clear and beautiful!!

    ReplyDelete
  7. Tak pernah cuba buat roti canai.
    Nampak macam renyah tapi suka makan roti canai tunjuk je huhuhuu...

    ReplyDelete
  8. Tak pernah lagi cuba buat roti canai

    ReplyDelete
  9. hai Dina, 1 st time ke sini dan following 195. Kak ana tak pandai buat roti canai ni, nampak sedap je kejadiannya kan :)

    ReplyDelete
  10. Sedapnya roti canai. Nak membuat tu nampak mudah tapi bab menguli tu ambil masa juga. Terima kasih share resepi :)

    ReplyDelete
  11. omg dina! i suka betul roti canai. thankss for the recipe! ❤️❤️❤️

    ReplyDelete

Instagram

Theme by BD